Wednesday, February 9, 2011

[Lencana Keahlian] SEJARAH PENGAKAP MALAYSIA DAN SEJARAH PENGASAS PENGAKAP, LORD BADEN POWELL 2

6.0 SEJARAH PENGAKAP MALAYSIA DAN SEJARAH PENGASAS PENGAKAP, LORD BADEN POWELL

Sejarah Pengasas Pengakap (Lord Baden Powell)

Pergerakan Pengakap diasaskan oleh Lord Baden Powell of Gilwell atau singkatannya BP. Beliau ialah seorang askar Inggeris yang berpangkat Leftenan Jeneral pada tahun 1907. Pergerakan Pengakap bermula di Pulau Brownsea, iaitu satu perkhemahan Pengakap yang pertama di dunia. Beliau telah mengeluarkan satu rancangan latihan bagi Pengakap pada tahun 1907.

Lord Baden Powell ialah Pengakap Agung Dunia yang dilahirkan pada 22 Februari 1857 di sebuah rumah yang berhampiran dengan Hyde Park, London. Nama penuhnya ialah Lord Robert Stephenson Smyth Baden Powell dan bapanya bernama Reverend H.G. Baden Powell, seorang profesor dalam bidang sains di Universiti Oxford. Ibunya, anak kepada seorang Laksamana British yang bernama W.T. Smyth. Beliau mempunyai tujuh orang adik beradik.Bapa Baden Powell meninggal dunia semasa beliau berumur tiga tahun. Semasa kecil beliau sudah berminat hidup di luar rumah. Beliau pernah berjalan dan berkhemah di beberapa tempat di England bersama dengan abangnya. Pengalaman ini dapat memberi pengajaran kepadanya supaya bekerjasama dan sentiasa taat pada perintah.

Pada tahun 1870, beliau telah memasuki sekolah Charterhouse England dengan derma pelajaran. Beliau terkenal dalam bidang sukan, lakonan, lukisan dan muzik. Semasa berusia 19 tahun, beliau telah tamat pengajian di Charterhouse dan terpaksa memilih kerja ataupun ke Oxford. Beliau telah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan pemilihan seorang tentera. Dengan kejayaan ini, beliau tidak perlu memasuki Sandhurst dan terus menjadi pengawai dalam pasukan Hussar ke-13 serta ditempatkan di India pada tahun 1876.

Pada tahun 1878, beliau dilantik menjadi Pengawai Memerintah Pasukan ke-5 Dragoon Guards di India. Pada tahun 1887, beliau telah dihantar ke Afrika bersama-sama askarnya melawan kaum Zulu, dan beliau telah berjaya menawannya. Selepas itu beliau telah ditugaskan untuk melawan bangsa Ashanti. Bangsa Ashanti terkenal sebagai bangsa yang garang. Tetapi bangsa Ashanti sangat takutkannya, sehingga beliau diberi gelaran "serigala yang tidak pernah tidur" atau "Impeesa" kerana keberanian dan kecekapannya. Pada tahun 1899, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Kolonel.

Huru-hara telah tercetus di antara kerajaan British dengan negeri Transvaal sehingga perhubungan kedua-dua negara menjadi sangat genting, dan Powell telah diberi tugas untuk menubuhkan dua batalion askar berkuda untuk ke Afrika Selatan. Beliau telah mempertahankan bandar Mafeking selama 217 hari daripada kepungan musuh yang mempunyai bilangan askar yang berlipat ganda. Peristiwa ini berlaku pada 13 Oktober 1899 hingga 18 Mei 1900, sehinggalah bantuan dari pihak British datang menembusi kepungan musuh.

pada 1899 Semasa musuh mengepung bandar Mafeking, beliau telah menggunakan kanak-kanak sebagai utusan dan pemberitahuan menggantikan askar di medan peperangan Kapten Tusan. Kepantasan dan kecekapan kanak-kanak ini telah memberi dorongan kepada beliau untuk seterusnya menubuhkan pergerakan Pengakap. Selepas peristiwaan ini beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Major Jeneral yang termuda.

Kesan daripada bantuan kanak-kanak di bandar Mafeking, beliau telah mula merangka rancangannya pada tahun 1906 dan pada tahun 1907 beliau telah siap menulis buku "Aids to Scouting". Segala pengalaman semasa di Afrika telah dikumpulkan dalam buku tersebut.Pada tahun 1907 juga, Baden Powell telah diundang untuk memeriksa satu pembarisan pergerakan Brigade Muda oleh pengasas pergerakan ini, Sir William Smith. Baden Powell telah berbincang dengan Sir William Smith serta pergerakan pekerja muda yang lain untuk mengadakan satu perkhemahan terkenal di Pulau Brownsea di Poole Harbour. Perkhemahan bermula pada 25 Julai hingga 9 Ogos 1907. Beliau merupakan "Scout Master" atau Pemimpin Pengakap dalam perkhemahan tersebut. G W Green. H Robson dan P W Everett merupakan penolong-penolong Baden Powell.

Perkhemahan tersebut telah memberi daya penggerak kepada BP untuk menulis dan mengemaskini semula buku "Aids to Scouting" kepada "Scouting for Boys". Buku ini merupakan pandu asas pergerakan Pengakap sehingga hari ini. Buku tersebut juga diterjemahkan kepada lima jenis bahasa lain lalu disebar di merata-rata dunia. Penubuhan banyak kumpulan baru telah memberi keyakinan kepada beliau untuk meneruskan perjuangan beliau dalam Pengakap sepanjang hayatnya. Beliau telah berhenti berkhidmat dalam askar semasa beliau berpangkat Leftenan Jeneral.

Semasa tercetusnya Perang Dunia Pertama, kumpulan-kumpulan Pengakap turut mengambil bahagian dalam mempertahankan negara England. Antaranya ialah pengawasan tepi laut oleh Pengakap Laut. Dalam tahun 1919, Lord Baden Powell telah mengadakan satu tapak perkhemahan Pengakap yang pertama di dunia dan dikenali sebagai Gilwell Park di London. Gilwell Park juga merupakan tempat latihan ahli dan pemimpin Pengakap yang terulung di dunia.
Pada tahun 1920, Pengakap dari seluruh dunia telah berkumpul di London menghadiri jambori dunia pertama. Jambori itu diadakan di Richmond Park, sebanyak 6000 Pengakap Muda dari dua puluh jenis negara menghadiri jambori tersebut. Richmond Park adalah terletak di Olympia, London. Pada malam akhir jambori ini, BP telah diisytiharkan menjadi Pengakap Agung Dunia atau Chief Scout of the World.

Pergerakan Pengakap terus menular ke negara-negara lain sehingga apabila genap usia penubuhannya 21 tahun, keanggotaannya melebihi dua juta orang. Mengenangkan jaya yang diberikan, Baden Powell telah dianugerahkan darjah kemuliaan yang tertinggi di England iaitu Lord, dan diberi gelaran Lord Baden Powell of Gilwell. King George V merupakan penganugerah yang menjadikan BP seorang Baron. Lord Baden Powell of Gilwell adalah diberi semperna Gilwell Park.

Pada tahun 1937 sewaktu usianya 80 tahun, beliau telah sakit tenat dan terpaksa berhenti dari pergerakan Pengakap di merata-rata dunia. Beliau bersama isterinya Lady Baden Powell atau Miss Olave Soames pengasas pergerakan pandu puteri telah berhijrah ke Kenya, Afrika. Beliau bermastautin di sebuah kampung yang aman permai selepas berkhidmat kepada dunia Pengakap selama 33 tahun.

Pada 8 Januari 1941, beliau meninggal dunia di Paxtu, Kenya. Beliau disemadikan di Nyeri dalam lingkungan bayang-bayang gunung Kenya. Batu nisan beliau turut diukir "Robert Baden Powell, Chief Scout of World, born February 22nd 1857, died January 8th 1941." Logo Pengakap dan pandu puteri turut diukir pada batu nisan tersebut. Kuburnya telah diletakkan batu-batu berbentuk bulat dengan satu titik di tengah-tengah yang bermaksud "Gone Home". Kata-kata terakhir BP adalah seperti berikut: Tuhan memimpin dan membantu di dalam kerja-kerjamu.